Bila Tinta Menari

sebuah blog yang ditulis untuk mengekspresi idea yang terbuku dalam minda penulis.. memproses cetusan-cetusan yang lahir dari pelbagai sumber untuk menghasilkan satu wacana penulisan sebagai metode penulis untuk berkongsi pemikiran dan perspektif dari sudut yang berbeza.. (^,^)v

salam.

salah ke kalau kita nak bercakap dalam dialek. aku rasa tak salah kan? bahasa pertuturan dengan bahasa penulisan tak dinafikan memang seharusnya menjadi satu komponen yang sama tapi hakikatnya, dua benda ini sangat jauh berbeza. kalau ada antara kita yang boleh bercakap dalam bahasa yang betul-betul tepat dan asli kemelayuan dan kebakuannya, aku tabik spring kepada beliau.

apa yang aku nak tuliskan hari ini bukanlah pasal dialek negeri sembilan, dialek utara, atau dialek perak. apa yang aku nak bentangkan kali ini adalah mengenai dialek jalanan. aku akui memang orang kebanyakan merasa jelik dengan bahasa yang digunakan oleh golongan gelandangan yang banyak menghabiskan masa di jalanan ini. namun, tanpa kita sedari penggunaan bahasa sebegini sudah menjadi subbudaya bagi generasi muda masa ini.

persoalan pertama yang muncul dalam benak kebanyakan kita adalah dari mana datangnya budaya baru ini? asimilasi bahasa dan bahasa ciptaan sendiri aku rasakan antara pencetus utama bahasa jalanan. campur aduk antara pertuturan bahasa melayu dengan bahasa-bahasa lain seperti bahasa dialek masyarakat cina dan india terutamanya, dilihat sebagai satu faktor penyumbang kepada munculnya bahasa jalanan ini. contoh mudah, 'wa, lu, macha dan sebagainya'.

selain itu, golongan yang terlebih kreatif ini juga gemar mencipta perkataan sendiri. mungkin akibat faktor kerahsiaan dan tidak ingin orang luar kelompok mereka faham, perkataan-perkataan seperti 'otek, cikaro dan yang sebunyi dengannya' direka. malangnya, hari ini perkataan-perkataan tersebut digunakan secara meluas sehinggakan budak-budak sekolah di ceruk-ceruk desa pun tahu menggunakannya.

justeru, muncul persoalan kedua. bagaimanakah boleh berkembangnya bahasa ini? jawapannya cukup mudah. negara kita cukup banyak pelumba haram serta penggemar aktiviti seumpama ini dan mereka menjadi majoriti kelompok jalanan. selain itu, sektor perfileman negara kini yang banyak memaparkan cerita-cerita bertemakan lumba haram dan subbudaya delinkuen yang lain telah mempengaruhi penonton untuk turut sama hidup seperti situasi yang dipaparkan dalam filem-filem berkenaan. gaya percakapan terutamanya, ditiru dan menjadi ikutan.

akhir sekali, salahkah untuk aku menggunakan bahasa jalanan ini? itu tujuan utama aku menulis sebenarnya. bagi aku, salah atau tidak untuk digunakan bahasa sebegini sebenarnya bergantung kepada keadaan dan situasi. mengapa aku katakan yang sedemikian? hal ini kerana aku rasa bahasa merupakan sesuatu yang subjektif.

katakanlah seorang pensyarah psikologi yang ingin bersembang dengan seorang makcik tua. adakah perlu bagi pensyarah tersebut untuk menggunakan bahasa tahap tinggi dan mengeluarkan teori-teori seperti teori sigmund freud umpamanya dalam perbualan mereka? sudah semestinya tidak kerana kita perlu bercakap mengikut tahap kefahaman dan kesesuaian orang yang kita lawan cakap. sama juga dalam kes budak-budak jalanan ini. kita perlu sedikit toleransi dan pemahaman apabila bercakap dengan mereka untuk turut sama berada dalam dunia mereka.

merujuk kepada tajuk yang dibincangkan, aku rasakan tidak salah untuk kita menggunakan bahasa jalanan ini apabila berkomunikasi sesama teman yang lebih selesa untuk berbual menggunakan bahasa ini. mempunyai teman dari segenap lapisan masyarakat menunjukkan kita tidak terlalu cerewet dan selektif dalam berkawan. jadi berkawan dengan budak jalanan sudah tentunya tidak salah. apabila berkomunikasi dengan mereka, tidak menjadi satu jenayah rasanya untuk kita memesrakan perbualan dengan menggunakan bahasa sebegini. selain itu, jika kita berbual dengan golongan muda masa ini pun sudah menjadi kebiasaan untuk bahasa sebegini digunakan.

justeru, aku rasakan tidak salah untuk kita gunakan bahasa jalanan ini untuk tujuan komunikasi sesama rakan yang ingin menggunakannya. tapi janganlah pula kita gunakan bahasa ini dalam situasi formal dan juga dalam komunikasi dengan orang yang lebih tua dari kita kerana itu biadab namanya.

0 comments:

Post a Comment

Tentang Aku

My photo
pelajar jurusan perubatan Universiti Mansoura, Mesir. seorang manusia yang suka mengutarakan pendapat dan berkongsi cerita. agak aktif dalam penulisan kreatif suatu ketika dahulu. ingin menjadi seorang yang berjaya pada masa depan. berazam menjadi seorang yang mampu ke depan dan berucap di hadapan khalayak ramai. bercita-cita tinggi dan berharap agar cita-cita tersebut tercapai.. hee..

Labels

Waktu Solat Mansoura (^-^)

Followers

Penafian (Disclaimer)

Segala kandungan dalam blog ini adalah pandangan peribadi penulis. Tiada isu berbangkit kerana blog ini merupakan hak peribadi penulis. Justeru penulis bebas menyatakan pendapat di bawah Artikel 22(a) Deklarasi Kaherah tentang Hak Asasi Manusia dalam Islam, dan Hak Kebebasan Bersuara dalam Perkara 19 Pengisytiharaan Hak Asasi Manusia Sejagat. Sebarang ketidakpuasan hati sila pendamkan dalam hati kerana kesah plak aku kalo ko tak puas hati! haha!!