klik untuk gambar besaaaaaar~!Salam.
ada macam poster calon pilihanraya tak? hehe.. ni la aktiviti aku bila bosan..
post kali ni aku nak menulis tentang teguran.
'izinkan saya menggunakan bahasa baku'. (sape yg tak suke tuh sile jangan bace.. anda poyo.. hahaha!!)
Baru-baru ini saya dikejutkan dengan tulisan seorang hamba Illahi yang tidak dikenali berkaitan kebejatan sosial dan pelbagai permasalahan yang sedang menghurung bumi Mansoura ini. Pelik dan hebat kerana penulis tersebut mampu serta 'berjaya' mendapatkan pelbagai ceritera dari seluruh pelosok Mesir untuk dimuatkan sebagai kandungan dalam blog miliknya. Namun malangnya, penulis ini gagal dalam aspek adab dan etika penulisan.
Rata-rata kandungan blog yang kononnya sensasi dan terkini tersebut adalah mengenai berita perihal segala macam kejadian yang berlaku di sekitar Mesir. Tetapi, posting-posting yang terbaru di blog terbabit dilihat terlampau mendalam menyerang dan menyelak kain warga Mansoura. Terkini, mengenai jamuan makan malam anjuran salah sebuah pertubuhan pelajar di sini yang diserang hebat dengan spekulasi yang tidak berasas dan gambar yang dicuri entah dari laman 'facebook' siapa. Cukup pedih rasanya untuk dibaca posting tersebut namun disebabkan rasa ingin tahu apa yang mahu disampaikan oleh penulis, saya habiskan juga membaca tulisan terbabit.
Setelah habis membaca, saya cuba berfikir sejenak mengenai buruk baiknya artikel itu. Secara positifnya, artikel terbabit cuba menyedarkan dan menegur kelompok sasaran tulisan itu yang majoritinya berpakaian tak cukup kain pada malam tersebut. Selain itu, penulis juga menyampaikan kebimbangannya mengenai perbuatan pelajar-pelajar ini yang akan menjatuhkan nama baik bumi Mesir selaku bumi Anbiya' pada mata masyarakat umum. Penulis turut mendoakan 'kita' ditunjukkan ke jalan hidayah, siratal mustakim, dan diampunkan dosa-dosa pada akhir artikel awalnya.
Walau bagaimanapun, yang tak sedapnya mengenai posting ini adalah yang pertamanya mengenai gambar-gambar yang dipaparkan. Gambar-gambar terbabit adalah merupakan hak peribadi dan berkemungkinan besar diambil tanpa persetujuan tuan yang empunya. Meskipun terdapat contengan pada muka setiap gambar yang kononnya untuk mengelak dari dikenali, tetapi bagi tuan yang empunya gambar, apa yang dilakukan oleh si pemilik blog adalah sama sekali tidak dapat dimaafkan. Tindakan ini jelas melanggar hak peribadi individu dan boleh diklasifikasikan sebagai satu kesalahan dalam etika kewartawanan(sebab dia kata blog dia saluran berita).
Di samping itu, cara penulisan si pemilik blog juga gagal menepati kaedah dakwah atau 'menyampaikan'. Lenggok tulisannya lebih berbaur hasutan, fitnah dan ancaman diselangi dengan kata-kata yang jelas menunjukkan penulis dipengaruhi rasa marah. Saya tidak pandai untuk berdakwah namun setahu saya, cara yang paling TIDAK berkesan untuk mendekati seseorang adalah cara konfrontasi. Dengan menulis seperti itu, pemilik blog seakan-akan mengisytiharkan perang kepada seluruh kelompok sasaran tulisannya.
Saya yakin apa yang dihajatkan oleh pemilik blog itu hanyalah untuk berdakwah dan memperbetul karektor para pelajar di sini. Namun, hasrat suci murni ini tidak akan tercapai sekiranya pendekatan yang diambil tidak kena pada caranya. Jujur saya katakan di sini ramai yang perlu 'didekati' oleh golongan-golongan yang diberi sedikit kelebihan anugerah ilmu-Nya ini. Tetapi, apa yang perlu diutamakan adalah cara pendekatan terhadap kelompok yang 'memerlukan' ini (termasuklah saya :) ).
Perlu difahami bahawa terdapat segelintir daripada pelajar yang menuntut di bumi Mesir ini agak jahil dalam soal hukum-hakam agama. Hal ini disebabkan pengaruh sosiobudaya dan kebejatan sosial yang gagal ditinggalkan bersama benda-benda lain yang tidak diperlukan sewaktu memasuki pesawat untuk terbang ke sini. Apabila tiba di sini, lambakan pelajar lain yang sekepala menyebabkan kelompok ini terus-terusan mengamalkan cara hidup lama yang berteraskan hedonisme semata-mata.
Namun begitu, di sebalik keseronokan dan kesahajaan cara hidup yang dilalui, ada sesetengah dari kami yang wujud dalam hati kecilnya keinginan untuk mendalami ilmu agama. Ada juga yang dihantar ke sini oleh ibu bapa dengan harapan agar anaknya yang sebelum ini jahil, mampu untuk mengenali Islam dengan lebih mendalam. Lantaran itu, di sinilah wujudnya keperluan konsep dakwah bagi kelompok ini. Kami perlu didekati dan bukannya dikonfrontasi!
Bagi kelompok yang merasakan mereka diberi anugerah dan kebolehan untuk menyampaikan, janganlah terlalu keras atau memaksa dalam teguran. Perubahan adalah satu proses yang memerlukan masa. Justeru untuk melakukan transformasi ke arah kebaikan, waktu amat diperlukan. Jangan sampai hati yang hampir terbuka menerima perubahan tertutup terus dek kesilapan cara pendekatan.
Akhir kalam, buat teman-teman yang ingin berubah, saya petik kata-kata Imam Al-Ghazali, "The true greatness of man lies in his capacity for eternal progress. (Kehebatan sebenar seseorang itu terletak pada kemampuannya untuk terus maju)..". Ayuh berubah! Anda mampu mengubahnya!

0 comments:
Post a Comment