Bila Tinta Menari

sebuah blog yang ditulis untuk mengekspresi idea yang terbuku dalam minda penulis.. memproses cetusan-cetusan yang lahir dari pelbagai sumber untuk menghasilkan satu wacana penulisan sebagai metode penulis untuk berkongsi pemikiran dan perspektif dari sudut yang berbeza.. (^,^)v

salam.

salah ke kalau kita nak bercakap dalam dialek. aku rasa tak salah kan? bahasa pertuturan dengan bahasa penulisan tak dinafikan memang seharusnya menjadi satu komponen yang sama tapi hakikatnya, dua benda ini sangat jauh berbeza. kalau ada antara kita yang boleh bercakap dalam bahasa yang betul-betul tepat dan asli kemelayuan dan kebakuannya, aku tabik spring kepada beliau.

apa yang aku nak tuliskan hari ini bukanlah pasal dialek negeri sembilan, dialek utara, atau dialek perak. apa yang aku nak bentangkan kali ini adalah mengenai dialek jalanan. aku akui memang orang kebanyakan merasa jelik dengan bahasa yang digunakan oleh golongan gelandangan yang banyak menghabiskan masa di jalanan ini. namun, tanpa kita sedari penggunaan bahasa sebegini sudah menjadi subbudaya bagi generasi muda masa ini.

persoalan pertama yang muncul dalam benak kebanyakan kita adalah dari mana datangnya budaya baru ini? asimilasi bahasa dan bahasa ciptaan sendiri aku rasakan antara pencetus utama bahasa jalanan. campur aduk antara pertuturan bahasa melayu dengan bahasa-bahasa lain seperti bahasa dialek masyarakat cina dan india terutamanya, dilihat sebagai satu faktor penyumbang kepada munculnya bahasa jalanan ini. contoh mudah, 'wa, lu, macha dan sebagainya'.

selain itu, golongan yang terlebih kreatif ini juga gemar mencipta perkataan sendiri. mungkin akibat faktor kerahsiaan dan tidak ingin orang luar kelompok mereka faham, perkataan-perkataan seperti 'otek, cikaro dan yang sebunyi dengannya' direka. malangnya, hari ini perkataan-perkataan tersebut digunakan secara meluas sehinggakan budak-budak sekolah di ceruk-ceruk desa pun tahu menggunakannya.

justeru, muncul persoalan kedua. bagaimanakah boleh berkembangnya bahasa ini? jawapannya cukup mudah. negara kita cukup banyak pelumba haram serta penggemar aktiviti seumpama ini dan mereka menjadi majoriti kelompok jalanan. selain itu, sektor perfileman negara kini yang banyak memaparkan cerita-cerita bertemakan lumba haram dan subbudaya delinkuen yang lain telah mempengaruhi penonton untuk turut sama hidup seperti situasi yang dipaparkan dalam filem-filem berkenaan. gaya percakapan terutamanya, ditiru dan menjadi ikutan.

akhir sekali, salahkah untuk aku menggunakan bahasa jalanan ini? itu tujuan utama aku menulis sebenarnya. bagi aku, salah atau tidak untuk digunakan bahasa sebegini sebenarnya bergantung kepada keadaan dan situasi. mengapa aku katakan yang sedemikian? hal ini kerana aku rasa bahasa merupakan sesuatu yang subjektif.

katakanlah seorang pensyarah psikologi yang ingin bersembang dengan seorang makcik tua. adakah perlu bagi pensyarah tersebut untuk menggunakan bahasa tahap tinggi dan mengeluarkan teori-teori seperti teori sigmund freud umpamanya dalam perbualan mereka? sudah semestinya tidak kerana kita perlu bercakap mengikut tahap kefahaman dan kesesuaian orang yang kita lawan cakap. sama juga dalam kes budak-budak jalanan ini. kita perlu sedikit toleransi dan pemahaman apabila bercakap dengan mereka untuk turut sama berada dalam dunia mereka.

merujuk kepada tajuk yang dibincangkan, aku rasakan tidak salah untuk kita menggunakan bahasa jalanan ini apabila berkomunikasi sesama teman yang lebih selesa untuk berbual menggunakan bahasa ini. mempunyai teman dari segenap lapisan masyarakat menunjukkan kita tidak terlalu cerewet dan selektif dalam berkawan. jadi berkawan dengan budak jalanan sudah tentunya tidak salah. apabila berkomunikasi dengan mereka, tidak menjadi satu jenayah rasanya untuk kita memesrakan perbualan dengan menggunakan bahasa sebegini. selain itu, jika kita berbual dengan golongan muda masa ini pun sudah menjadi kebiasaan untuk bahasa sebegini digunakan.

justeru, aku rasakan tidak salah untuk kita gunakan bahasa jalanan ini untuk tujuan komunikasi sesama rakan yang ingin menggunakannya. tapi janganlah pula kita gunakan bahasa ini dalam situasi formal dan juga dalam komunikasi dengan orang yang lebih tua dari kita kerana itu biadab namanya.

salam.
Petang tadi aku tengah on9 kat facebook. Sekali adik abang ipar aku ajak chat. Aku pun layan jelah. Sembang punya sembang, sekali terkeluar cerita pasal H1N1 dekat Malaysia. Dia kata dah masuk tahap kedua dah penyakit tu. Dia kerja dekat klinik kesihatan, jadi pejabat dialah antara yang bertanggungjawab untuk suntikan vaksin ni. Lepas tu, dia suruh aku merisik khabar pasal kandungan vaksin H1N1. Dia takut kalau-kalau vaksin tu bersumberkan babi sebab nama lain H1N1 ni swine flu ataupun selsema babi.
Fikir punya fikir, aku pun terdetik juga nak tahu. Yalah, kalau betul, macam mana orang Islam nak ambil suntikan tu kalau ada kandungan babi. Jadi aku pergilah menyelidik. Berbekalkan ilmu bagaimana untuk mencari informasi dalam internet yang diperturunkan mahaguru Dr. Saed, aku pun mulalah berlayar dari satu sesawang ke satu sesawang yang lain. (haha! jgn bising ayid n huda! lantak aku la nk baku pun.. :P )

Akhirnya, setelah dua tiga kali aku tersesat ke laman facebook, (daya tarikan kuat sangat..) aku terjumpa juga informasi yang aku nak. Jawapan bagi pertanyaan adik abang ipar aku tadi adalah, YA bagi sesetengah jenama dan tidak bagi sesetengah yang lainnya. ADA kandungan serpihan babi dalam kandungan vaksin H1N1 yang dikeluarkan syarikat farmaseutikal Sanofi Pasteur dan MedImmune. Trace amount atau jumlah surih babi dalam vaksin ini digunakan sebagai stabilizer (penstabil) dalam bentuk gelatin.

Jadi, timbul tanda tanya besar dalam otak aku. Boleh atau tidak bagi umat Islam untuk ambil vaksin ni? Aku pun meneruskan pencarian lagi. Tapi kali ini untuk persoalan baru yang rancak berjoget-joget dalam minda aku. Dan akhirnya(lagi sekali..) aku terjumpa juga dengan jawapannya.

Seminar anjuran Islamic Organization for Medical Sciences pada tahun 1995 di Kuwait yang dihadiri Allahyarham Syeikh Dr Muhammad Sayed Tantawi (pada masa itu mufti Mesir), Dr Youssef Al Qardawi dan ramai lagi mufti-mufti serta wakil agama Islam dari seluruh dunia telah memutuskan bahawa, "Gelatin yang dibuat daripada hasil pengubahan tulang, kulit dan tendon binatang yang dari hukum syaraknya najis adalah suci, dan ianya dibenarkan oleh syarak untuk dimakan."

Rasional bagi keputusan ini adalah gelatin yang terhasil daripada proses saintifik yang menyebabkan perubahan bentuk dan keadaan asal sumbernya iaitu daripada tulang, kulit dan tendon babi kepada satu objek yang lain iaitu gelatin. Justeru, gelatin yang dibuat daripada bahagian badan babi adalah suci dan boleh dimakan.

Fuhh.. Lega aku. Takut jugak sebab sebelum ni banyak je ubat yang aku dah makan dan aku tak pernah tahu kandungannya. huhu.. Aku harap sedikit sebanyak korang dapatlah manfaat daripada artikel/KARANGAN aku nih. Sekian.
salam...

rujukan :
http://www.immunize.org/concerns/porcine.pdf
http://www.vaccinesafety.edu/components-Allergens.htm

salam.
huhuhu..
sebelum aku buat review, jom kite bace dulu kat SINI..

wahwah.. hati suke suke hati jek..
bahan skadar copy n paste, masuk portal pembangkang lak tuh..
hohoho.. memang nak mempolitikkan suasana btol la..
tapi pape pon, ni aku nak cakap.

portal berita tersebut bagi aku cukup menyedihkan sebab menyiarkan berita yang ditokok-tambah. sebelum ni aku boleh sabar lagi sebab cuma keluar dekat blog yang tak seberapa. tapi kali ni bila dah terpapar dekat blog mainstream yang dilayari berpuluh-puluh, beratus-ratus or even beribu-ribu orang sehari, aku da tak boleh nak tahan dah la.

sedangkan dekat tempat blog asal yang tulis pasal benda tu pun dah delete post tuh, ini tiba-tiba pulak ade yang terlebih rajin nak memanjangkan isu. dan yang lebih berat lagi ada disertakan dengan tuduhan AKAN LAHIR ULAMA' JAHAT DARI??? hohoho... lek2 ah bro.. men kasar nampak.. tengok gaya lu tulis pon gua da tau mulut lu lagi hancing dari jamban kat mesir nih..

aku cukup marah bila baca pasal "hadiah annual dinner bg pasangan ideal - HOTEL????".. ulama' jahat atau ulama' su' yang sebenarnya kalau korang nak cari sangat adalah orang yang mula-mula sekali cetuskan dan bangkitkan fitnah bodoh ni. sekadar guna imej sebagai budak/orang baik n alim untuk dapatkan kepercayaan orang lain tapi keluarkan cerita fitnah. tak tau la macam mana dan berapa banyak dosa dia memfitnah dan didoa oleh mangsa-mangsa yang terkena fitnah dia ni.

wallahualam..

p/s. sori kalau ada yang tak suka dengan tulisan ni.

klik untuk gambar besaaaaaar~!

Salam.
ada macam poster calon pilihanraya tak? hehe.. ni la aktiviti aku bila bosan..
post kali ni aku nak menulis tentang teguran.
'izinkan saya menggunakan bahasa baku'. (sape yg tak suke tuh sile jangan bace.. anda poyo.. hahaha!!)

Baru-baru ini saya dikejutkan dengan tulisan seorang hamba Illahi yang tidak dikenali berkaitan kebejatan sosial dan pelbagai permasalahan yang sedang menghurung bumi Mansoura ini. Pelik dan hebat kerana penulis tersebut mampu serta 'berjaya' mendapatkan pelbagai ceritera dari seluruh pelosok Mesir untuk dimuatkan sebagai kandungan dalam blog miliknya. Namun malangnya, penulis ini gagal dalam aspek adab dan etika penulisan.

Rata-rata kandungan blog yang kononnya sensasi dan terkini tersebut adalah mengenai berita perihal segala macam kejadian yang berlaku di sekitar Mesir. Tetapi, posting-posting yang terbaru di blog terbabit dilihat terlampau mendalam menyerang dan menyelak kain warga Mansoura. Terkini, mengenai jamuan makan malam anjuran salah sebuah pertubuhan pelajar di sini yang diserang hebat dengan spekulasi yang tidak berasas dan gambar yang dicuri entah dari laman 'facebook' siapa. Cukup pedih rasanya untuk dibaca posting tersebut namun disebabkan rasa ingin tahu apa yang mahu disampaikan oleh penulis, saya habiskan juga membaca tulisan terbabit.

Setelah habis membaca, saya cuba berfikir sejenak mengenai buruk baiknya artikel itu. Secara positifnya, artikel terbabit cuba menyedarkan dan menegur kelompok sasaran tulisan itu yang majoritinya berpakaian tak cukup kain pada malam tersebut. Selain itu, penulis juga menyampaikan kebimbangannya mengenai perbuatan pelajar-pelajar ini yang akan menjatuhkan nama baik bumi Mesir selaku bumi Anbiya' pada mata masyarakat umum. Penulis turut mendoakan 'kita' ditunjukkan ke jalan hidayah, siratal mustakim, dan diampunkan dosa-dosa pada akhir artikel awalnya.

Walau bagaimanapun, yang tak sedapnya mengenai posting ini adalah yang pertamanya mengenai gambar-gambar yang dipaparkan. Gambar-gambar terbabit adalah merupakan hak peribadi dan berkemungkinan besar diambil tanpa persetujuan tuan yang empunya. Meskipun terdapat contengan pada muka setiap gambar yang kononnya untuk mengelak dari dikenali, tetapi bagi tuan yang empunya gambar, apa yang dilakukan oleh si pemilik blog adalah sama sekali tidak dapat dimaafkan. Tindakan ini jelas melanggar hak peribadi individu dan boleh diklasifikasikan sebagai satu kesalahan dalam etika kewartawanan(sebab dia kata blog dia saluran berita).

Di samping itu, cara penulisan si pemilik blog juga gagal menepati kaedah dakwah atau 'menyampaikan'. Lenggok tulisannya lebih berbaur hasutan, fitnah dan ancaman diselangi dengan kata-kata yang jelas menunjukkan penulis dipengaruhi rasa marah. Saya tidak pandai untuk berdakwah namun setahu saya, cara yang paling TIDAK berkesan untuk mendekati seseorang adalah cara konfrontasi. Dengan menulis seperti itu, pemilik blog seakan-akan mengisytiharkan perang kepada seluruh kelompok sasaran tulisannya.

Saya yakin apa yang dihajatkan oleh pemilik blog itu hanyalah untuk berdakwah dan memperbetul karektor para pelajar di sini. Namun, hasrat suci murni ini tidak akan tercapai sekiranya pendekatan yang diambil tidak kena pada caranya. Jujur saya katakan di sini ramai yang perlu 'didekati' oleh golongan-golongan yang diberi sedikit kelebihan anugerah ilmu-Nya ini. Tetapi, apa yang perlu diutamakan adalah cara pendekatan terhadap kelompok yang 'memerlukan' ini (termasuklah saya :) ).

Perlu difahami bahawa terdapat segelintir daripada pelajar yang menuntut di bumi Mesir ini agak jahil dalam soal hukum-hakam agama. Hal ini disebabkan pengaruh sosiobudaya dan kebejatan sosial yang gagal ditinggalkan bersama benda-benda lain yang tidak diperlukan sewaktu memasuki pesawat untuk terbang ke sini. Apabila tiba di sini, lambakan pelajar lain yang sekepala menyebabkan kelompok ini terus-terusan mengamalkan cara hidup lama yang berteraskan hedonisme semata-mata.

Namun begitu, di sebalik keseronokan dan kesahajaan cara hidup yang dilalui, ada sesetengah dari kami yang wujud dalam hati kecilnya keinginan untuk mendalami ilmu agama. Ada juga yang dihantar ke sini oleh ibu bapa dengan harapan agar anaknya yang sebelum ini jahil, mampu untuk mengenali Islam dengan lebih mendalam. Lantaran itu, di sinilah wujudnya keperluan konsep dakwah bagi kelompok ini. Kami perlu didekati dan bukannya dikonfrontasi!

Bagi kelompok yang merasakan mereka diberi anugerah dan kebolehan untuk menyampaikan, janganlah terlalu keras atau memaksa dalam teguran. Perubahan adalah satu proses yang memerlukan masa. Justeru untuk melakukan transformasi ke arah kebaikan, waktu amat diperlukan. Jangan sampai hati yang hampir terbuka menerima perubahan tertutup terus dek kesilapan cara pendekatan.

Akhir kalam, buat teman-teman yang ingin berubah, saya petik kata-kata Imam Al-Ghazali, "The true greatness of man lies in his capacity for eternal progress. (Kehebatan sebenar seseorang itu terletak pada kemampuannya untuk terus maju)..". Ayuh berubah! Anda mampu mengubahnya!

SPM 2009 : Ranking SBP

Berikut adalah ranking SBP bagi SPM 2009 :

1 SM SAINS SEREMBAN 0.9709
2 KOLEJ ISLAM SULTAN ALAM SHAH 1.1357
3 SBP INTEGRASI GOMBAK 1.2478
4 SM SAINS ALAM SHAH 1.2876
5 SEKOLAH TUN FATIMAH 1.2901
6 SBP INTEGRASI RAWANG 1.3176
7 SM SAINS MUAR 1.3487
8 SBP INTEGRASI TEMERLOH 1.3537
9 KOLEJ TUNKU KURSHIAH 1.4749
10 SEKOLAH SERI PUTERI 1.4866
11 SM SAINS JOHOR 1.5394
12 SM SAINS HULU SELANGOR 1.5477
13 SBP INTEGRASI JEMPOL 1.5526
14 SM SAINS MACHANG 1.553
15 SBP INTEGRASI SABAK BERNAM 1.5656
16 SM AGAMA PERSEKUTUAN LABU 1.6152
17 SM SAINS KUCHING 1.6201
18 SBP INTEGRASI KUBANG PASU 1.6248
19 SM SAINS TENGKU MUHAMMAD FARIS PETRA 1.6622
20 SEKOLAH SULTAN ALAM SHAH 1.6629
21 SM SAINS SERI PUTERI 1.6728
22 SEKOLAH TUANKU ABDUL RAHMAN 1.7083
23 SEKOLAH DATO` ABDUL RAZAK 1.7219
24 SM SAINS MIRI 1.7228
25 SM SAINS KOTA TINGGI 1.7381
26 SM SAINS TENGKU ABDULLAH 1.788
27 SBP INTEGRASI GOPENG 1.8159
28 SM SAINS SELANGOR 1.8219
29 SM SAINS LABUAN 1.8361
30 SM SAINS KUALA SELANGOR 1.8376
31 SBP INTEGRASI PEKAN 1.8378
32 SM SAINS KUALA TERENGGANU 1.8391
33 SBP INTEGRASI BATU RAKIT 1.8784
34 SBP INTEGRASI SELANDAR 1.9259
35 SM SAINS TUANKU JA`AFAR 1.9278
36 SM SAINS MUZAFFAR SYAH 1.9283
37 SM SULTAN ABDUL HALIM 1.938
38 KOLEJ MELAYU KUALA KANGSAR 1.9841
39 SM SAINS SULTAN ISKANDAR 2.0285
40 SM AGAMA PERSEKUTUAN KAJANG 2.0494
41 SM SAINS SULTAN MAHMUD 2.0774
42 SBP INTEGRASI KUANTAN 2.0777
43 SM SAINS TUN SYED SHEH SHAHABUDIN 2.0941
44 SM SAINS TELUK INTAN 2.101
45 SEKOLAH SAINS SULTAN HAJI AHMAD SHAH 2.2152
46 SM SAINS SABAH 2.2159
47 SM SAINS RAJA TUN AZLAN SHAH 2.236
48 SM SAINS TUANKU SYED PUTRA 2.2551
49 SM SAINS POKOK SENA 2.3745
50 SM SAINS PASIR PUTEH 2.3834
51 SM SAINS LAHAD DATU 2.3941
52 SM SAINS DUNGUN 2.397
53 SM SAINS SULTAN MOHAMMAD JIWA 2.4263
54 SM SAINS SULTAN HJ AHMAD SHAH 2.4463

Sumber dari SaserDendron.com

salam.

Menjadi seorang pemimpin merupakan satu kejayaan yang boleh dibanggakan oleh sesiapapun. Tidak dinafikan bahawa pangkat ini merupakan satu amanah besar yang harus dipikul dan dilaksanakan sebaik mungkin. Namun, kebolehan untuk memperlihatkan kualiti kerja yang terbaik sehingga mampu mendapatkan sokongan semua pihak untuk akhirnya dinobatkan sebagai ketua adalah bukti jelas kejayaan yang dicapai oleh mana-mana individu bergelar pemimpin.

Orang kata, bagi setiap orang yang berjaya, ada wanita di sebaliknya. Tetapi sebenarnya, kejayaan seseorang itu bukanlah hanya bergantung kepada wanita yang ia dampingi. Pengaruh rakan-rakan dan orang sekelilingnya turut menjadi faktor penting yang mendorong setiap tindak-tanduk individu terbabit. Pengaruh ini juga tidak hanya melibatkan kejayaan individu terbabit. Malah kejatuhannya juga boleh disebabkan oleh pengaruh ini. Hatta dalam diri pemimpin sekalipun, pengaruh ini tetap wujud dan teguh berakar dalam mindanya.

Walau bagaimanapun,  sebagai seorang pemimpin kita tidak boleh terlalu tunduk dengan desakan dan pujukan orang yang dekat dengan kita. Kita seharusnya mempunyai fikiran dan pandangan sendiri dalam setiap hal dan isu. Lebih parah jika ada yang menjadi batu api. Menyalakan sentimen sehingga mencetuskan api amarah dalam diri. Sebagai seorang pemimpin, kita wajib mencari jalan penyelesaian terbaik bagi setiap permasalahan dan menjauhi pendekatan fizikal yang agresif sejauh-jauhnya melainkan dalam situasi yang memerlukan kekerasan.

Jika kita berhadapan dengan suatu ketidakpastian dalam tuduhan, jalan terbaik yang boleh kita ambil adalah menerusi penyiasatan dan penyelidikan. Kita tidak boleh sekadar membuta tuli menuduh orang itu dan ini. Hanya jika seseorang itu bersikap kurang menyenangkan kita, kita sabitkan segala yang buruk kepada individu tersebut sedangkan belum tentu apa yang kita sangkakan itu betul. Hal ini merupakan satu malpraktis yang sangat besar bagi seorang pemimpin.

Natijahnya, kredibiliti kita sebagai pemimpin akan serta-merta hilang pada pandangan orang lain. Kita akan dipandang sebagai seorang yang berideologi sempit dan tidak kompeten dalam membuat keputusan. Apa yang telah kita usahakan selama ini hanya akan tinggal sebagai naskhah usang dalam lipatan sejarah peribadi. Hormat dan pandangan tinggi orang lain termasuklah orang bawahan terhadap kita akan lupus sama sekali dek kesilapan yang telah kita lakukan tanpa berfikir panjang.

Oleh itu sebagai pemimpin, kita perlu tanamkan dalam diri kita suatu iktikad untuk senantiasa sabar dalam menerima cabaran, tenang dalam apa jua keadaan, bijak dalam membuat keputusan, dan selalu bersangka baik terhadap semua individu. Jangan jadikan apa yang kita laung-laungkan selama ini sebagai satu retorik semata-mata. Kita juga harus sedikit tegas dan berhati-hati dalam menerima pandangan dan memilih pendamping kerana sesetengah yang menyokong hanyalah memberikan sokongan yang membawa rebah. Jadilah pemimpin yang benar-benar memimpin dan bukannya dipimpin kerana jatuh bangunnya organisasi yang kita pimpin (walaupun sekecil mana), terletak atas pundak kita.
salam.

The very essence of leadership is that you have to have vision. You can't blow an uncertain trumpet.
Theodore M. Hesburgh
The ultimate measure of a man is not where he stands in moments of comfort, but where he stands at times of challenge and controversy.
Martin Luther King, Jr.

salam.

"Merealisasikan mesej kebajikan dan akademik", itulah hasrat yang ingin dicapai selaras dengan penubuhan Kelab Umno Luar Negara. Menitipkan sumbangan dan bantuan seikhlas mungkin buat seluruh bangsa Melayu yang sedang melanjutkan pelajaran di luar bumi Malaysia. Kelab ini ditubuhkan bertujuan sebagai penyatu pelajar Melayu di luar negara sambil menjadi medium penghubung antara pelajar dengan kerajaan di Malaysia. Mengkabulkan hasrat untuk melihat satu kesatuan dalam bangsa Melayu dalam menghadapi segala pancaroba semasa dalam tempoh pengajian di luar tanah pusaka bangsa. Semenjak penubuhan pertama kelab ini di New York, Amerika Syarikat pada tahun 1956, cawangan-cawangan Kelab Umno Luar Negara telah berkembang biak di serata pelusuk dunia dan salah satu darinya adalah di Republik Arab Mesir.

Dek faktor geografi yang memisahkan setiap muhafazah (daerah) dan kawasan penempatan pelajar Malaysia yang pelbagai di bumi Mesir ini, banyak lagi cawangan kecil kelab ini yang ditubuhkan di sekitar Mesir. Salah satunya adalah bagi daerah Mansurah. Kewujudan Kelab Umno Luar Negara Cawangan Mansurah, Mesir ini adalah untuk memastikan nasib pelajar Malaysia yang rata-ratanya beragama Islam dan berbangsa Melayu di sini sentiasa terbela dan mendapat perhatian dari pihak kerajaan. Justeru, kelab ini berjuang di atas paksi ingin melihat pelajar Malaysia yang menuntut di Mansurah ini selalu dalam keadaan dan kondisi yang paling selesa dan optimum.

Tidak dinafikan bahawa telah sedia wujud persatuan-persatuan lain yang turut memperjuangkan hak dan nasib pelajar di sini. Namun, perjuangan Kelab Umno Luar Negara Cawangan Mansurah (KUM) ini lebih berperanan dari aspek membantu dan memperkukuh teras semangat saling membantu dan menyokong keterampilan individu bagi setiap pelajar yang menuntut di sini. Melengkapkan proses pembentukan generasi mapan yang mampu mendokong aspirasi negara dalam mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

Umum tahu bahawa apabila wujud sahaja perkataan UMNO pada nama kelab, secara automatik kelab ini akan dilabel sebagai sebuah kelab yang berteraskan politik semata-mata. Namun dogma ini tidak semestinya tepat. Meskipun kelab ini ditubuhkan sebagai salah satu ranting kecil dari Persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu, kelab ini tidak diwujudkan sebagai penyebar ideologi politik semata-mata. Apa yang ingin dicapai melalui penubuhan kelab ini hanyalah perpaduan, keselesaan dan kelancaran hidup penuntut di Mansurah ini sahaja. Janganlah disempitkan minda kita dengan segala macam dakyah-dakyah songsang yang ditaburkan oleh mana-mana pihak yang ingin mencemarkan nama baik KUM ini.

Wujudnya Kelab Umno Luar Negara Cawangan Mansurah ini bukanlah untuk memecahbelahkan kesatuan pelajar Malaysia di sini. Wujudnya kelab ini adalah sebagai platform untuk mempermudah segala urusan yang berkaitan dengan kebajikan pelajar kerana adanya hubungan secara terus dengan pemerintah negara. KUM tidak pernah dan tidak sekali-kali berhasrat untuk menjadi faktor pemisah bagi kelompok pelajar yang sedia ada di Mansurah ini. KUM sedia dan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak. Hal ini kerana kelab ini bersifat profesional dan tidak ingin melihat anak bangsa saling berpecah belah. Sikap saling membenci dan kepuakan tidak pernah disemai dalam kalangan ahli KUM. Bahkan kami ingin mengeratkan perpaduan tidak kiralah sesama golongan pelajar mahupun antara pelajar dengan kerajaan di Malaysia.

Perjuangan KUM yang telah beberapa lama terhibernasi sebelum ini telah ditiupkan nafas baru dan telah kembali aktif dengan senarai pimpinan baru. Kemunculan semula ini ingin memperjuangkan idea-idea segar dalam usaha penambahbaikan mutu hidup pelajar di sini selain mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama penuntut. Oleh itu, kami berharap agar niat baik kami ini akan dapat diterima umum sebagai satu langkah dalam mewujudkan atmosfera kesatupaduan dan harmonis dalam ruang legar Mansurah yang kita cintai ini. Kerjasama daripada semua pihak adalah amat kami harapkan dalam memastikan hasrat murni kami ini tercapai.


Disediakan oleh,
Ezwan Rafizi Bin Zakaria.

Tentang Aku

My photo
pelajar jurusan perubatan Universiti Mansoura, Mesir. seorang manusia yang suka mengutarakan pendapat dan berkongsi cerita. agak aktif dalam penulisan kreatif suatu ketika dahulu. ingin menjadi seorang yang berjaya pada masa depan. berazam menjadi seorang yang mampu ke depan dan berucap di hadapan khalayak ramai. bercita-cita tinggi dan berharap agar cita-cita tersebut tercapai.. hee..

Labels

Waktu Solat Mansoura (^-^)

Followers

Penafian (Disclaimer)

Segala kandungan dalam blog ini adalah pandangan peribadi penulis. Tiada isu berbangkit kerana blog ini merupakan hak peribadi penulis. Justeru penulis bebas menyatakan pendapat di bawah Artikel 22(a) Deklarasi Kaherah tentang Hak Asasi Manusia dalam Islam, dan Hak Kebebasan Bersuara dalam Perkara 19 Pengisytiharaan Hak Asasi Manusia Sejagat. Sebarang ketidakpuasan hati sila pendamkan dalam hati kerana kesah plak aku kalo ko tak puas hati! haha!!