Bila Tinta Menari

sebuah blog yang ditulis untuk mengekspresi idea yang terbuku dalam minda penulis.. memproses cetusan-cetusan yang lahir dari pelbagai sumber untuk menghasilkan satu wacana penulisan sebagai metode penulis untuk berkongsi pemikiran dan perspektif dari sudut yang berbeza.. (^,^)v

salam.

Menjadi seorang pemimpin merupakan satu kejayaan yang boleh dibanggakan oleh sesiapapun. Tidak dinafikan bahawa pangkat ini merupakan satu amanah besar yang harus dipikul dan dilaksanakan sebaik mungkin. Namun, kebolehan untuk memperlihatkan kualiti kerja yang terbaik sehingga mampu mendapatkan sokongan semua pihak untuk akhirnya dinobatkan sebagai ketua adalah bukti jelas kejayaan yang dicapai oleh mana-mana individu bergelar pemimpin.

Orang kata, bagi setiap orang yang berjaya, ada wanita di sebaliknya. Tetapi sebenarnya, kejayaan seseorang itu bukanlah hanya bergantung kepada wanita yang ia dampingi. Pengaruh rakan-rakan dan orang sekelilingnya turut menjadi faktor penting yang mendorong setiap tindak-tanduk individu terbabit. Pengaruh ini juga tidak hanya melibatkan kejayaan individu terbabit. Malah kejatuhannya juga boleh disebabkan oleh pengaruh ini. Hatta dalam diri pemimpin sekalipun, pengaruh ini tetap wujud dan teguh berakar dalam mindanya.

Walau bagaimanapun,  sebagai seorang pemimpin kita tidak boleh terlalu tunduk dengan desakan dan pujukan orang yang dekat dengan kita. Kita seharusnya mempunyai fikiran dan pandangan sendiri dalam setiap hal dan isu. Lebih parah jika ada yang menjadi batu api. Menyalakan sentimen sehingga mencetuskan api amarah dalam diri. Sebagai seorang pemimpin, kita wajib mencari jalan penyelesaian terbaik bagi setiap permasalahan dan menjauhi pendekatan fizikal yang agresif sejauh-jauhnya melainkan dalam situasi yang memerlukan kekerasan.

Jika kita berhadapan dengan suatu ketidakpastian dalam tuduhan, jalan terbaik yang boleh kita ambil adalah menerusi penyiasatan dan penyelidikan. Kita tidak boleh sekadar membuta tuli menuduh orang itu dan ini. Hanya jika seseorang itu bersikap kurang menyenangkan kita, kita sabitkan segala yang buruk kepada individu tersebut sedangkan belum tentu apa yang kita sangkakan itu betul. Hal ini merupakan satu malpraktis yang sangat besar bagi seorang pemimpin.

Natijahnya, kredibiliti kita sebagai pemimpin akan serta-merta hilang pada pandangan orang lain. Kita akan dipandang sebagai seorang yang berideologi sempit dan tidak kompeten dalam membuat keputusan. Apa yang telah kita usahakan selama ini hanya akan tinggal sebagai naskhah usang dalam lipatan sejarah peribadi. Hormat dan pandangan tinggi orang lain termasuklah orang bawahan terhadap kita akan lupus sama sekali dek kesilapan yang telah kita lakukan tanpa berfikir panjang.

Oleh itu sebagai pemimpin, kita perlu tanamkan dalam diri kita suatu iktikad untuk senantiasa sabar dalam menerima cabaran, tenang dalam apa jua keadaan, bijak dalam membuat keputusan, dan selalu bersangka baik terhadap semua individu. Jangan jadikan apa yang kita laung-laungkan selama ini sebagai satu retorik semata-mata. Kita juga harus sedikit tegas dan berhati-hati dalam menerima pandangan dan memilih pendamping kerana sesetengah yang menyokong hanyalah memberikan sokongan yang membawa rebah. Jadilah pemimpin yang benar-benar memimpin dan bukannya dipimpin kerana jatuh bangunnya organisasi yang kita pimpin (walaupun sekecil mana), terletak atas pundak kita.
salam.

The very essence of leadership is that you have to have vision. You can't blow an uncertain trumpet.
Theodore M. Hesburgh
The ultimate measure of a man is not where he stands in moments of comfort, but where he stands at times of challenge and controversy.
Martin Luther King, Jr.

0 comments:

Post a Comment

Tentang Aku

My photo
pelajar jurusan perubatan Universiti Mansoura, Mesir. seorang manusia yang suka mengutarakan pendapat dan berkongsi cerita. agak aktif dalam penulisan kreatif suatu ketika dahulu. ingin menjadi seorang yang berjaya pada masa depan. berazam menjadi seorang yang mampu ke depan dan berucap di hadapan khalayak ramai. bercita-cita tinggi dan berharap agar cita-cita tersebut tercapai.. hee..

Labels

Waktu Solat Mansoura (^-^)

Followers

Penafian (Disclaimer)

Segala kandungan dalam blog ini adalah pandangan peribadi penulis. Tiada isu berbangkit kerana blog ini merupakan hak peribadi penulis. Justeru penulis bebas menyatakan pendapat di bawah Artikel 22(a) Deklarasi Kaherah tentang Hak Asasi Manusia dalam Islam, dan Hak Kebebasan Bersuara dalam Perkara 19 Pengisytiharaan Hak Asasi Manusia Sejagat. Sebarang ketidakpuasan hati sila pendamkan dalam hati kerana kesah plak aku kalo ko tak puas hati! haha!!