“Rafi! Turun! Kamu jatuh karang menyusahkan orang je!”. Waktu itu, aku masih anak-anak. Bermain melompat sini sana. Dan telah menjadi kegemaranku untuk memanjat segala objek yang tinggi. Namun, dia acapkali memarahi aku setiap kali aku melakukannya. Bukan setakat pokok, hatta bumbung rumahpun seringkali aku panjat. Entah mengapa, aku merasa sangat tenang apabila berada di tempat tinggi. Menjadi satu kepuasan yang tak tergambarkan tatkala aku berjaya sampai ke puncak sesuatu benda. Tapi, turut menjadi lumrah buatku untuk jatuh dan setiap kali aku terjatuh, dialah yang menjadi doktor merawatku walaupun kerjayanya sebagai guru. Meski mulutnya membebel memarahi aku. Namun jelas terpancar riak risau dari wajahnya. Aku sayang padanya. Tetapi kata-kata itu tak pernah aku ungkapkan.
Hari berganti hari dan tahun berganti tahun. Aku mulai menginjak remaja. Duduk di sekolah berasrama membuatkan aku berjauhan dengan rumah. Di sini aku mula mengenal kawan. Dan di sini juga, aku mula berkenalan dengan aktiviti luar yang bagiku menyeronokkan. Semua benda telah kucuba. Rokok? Shisha? Fly? Semua itu sudah menjadi kebiasaan bagiku. Ketiadaan mata garang ayah untuk memerhatikanku menyebabkan aku merasa bebas untuk melakukan apa sahaja. Namun, meski aku tak lagi di rumah, dia sering datang melawatku setiap hujung minggu. Kadang-kandang bersama ikan keli masak cili padi yang menjadi kegemaranku sejak kecil. Dan dia sentiasa tahu bagaimana untuk membuatkan hatiku senang. Aku sayang padanya. Tetapi kata-kata itu tak pernah aku ucapkan.
Berkat usaha dan doa, aku mencapai keputusan yang agak cemerlang dalam peperiksaan dan ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti tempatan. Hidup sebagai seorang graduan amatlah berbeza berbanding kehidupan berasrama. Aku menerima kejutan budaya dek kebebasan yang amat sangat. Aku mula berkenalan dengan wanita dan berjinak-jinak dengan alam percintaan. Di sebalik keghairahan untuk menikmati segala kedewasaan yang aku miliki, dia masih menganggap dan melayaniku ibarat anak kecilnya. Aku muak dengan kasih sayangnya yang berlebihan itu. Meskipun aku anak tunggal, namun kurasakan tidak patut aku dimanjakan sebegitu rupa kerana aku sudah dewasa! Sudah bukan masanya lagi untuk dia cuba mengawal dan mengongkong setiap gerak-geriku. Namun, walaupun aku kurang senang dengan keadaan itu, aku sayang padanya. Tetapi kata-kata itu tak pernah aku lafazkan.
Kini, aku telah berkeluarga. Punyai isteri dan kerjaya namun masih belum dikurniakan cahaya mata. Dan dia sudah perlahan-lahan beransur tua. Wajahnya yang dulu bersih kini telah berkedut dimamah usia. Ayah telah pergi meninggalkan kami dan dia kini tinggal bersamaku. Walaupun sudah tua, namun dia masih mampu ke pasar dan melakukan kerja-kerja rumah. Aku dan isteri masing-masing punya kerjaya. Lantaran itu, dia terpaksa tinggal sendirian di rumah. Bertemankan pokok-pokok di halaman serta orang gaji jiran sebelah. Aku seringkali sedar pandangannya yang menagih kasih sayang setiap kali aku pulang dari tempat kerja. Namun kesibukan diri menyebabkan aku tidak mengendahkan pandangan sayunya itu. Mencari kesenangan lebih penting bagiku. Sifat ego kian menebal dan semakin susah untuk aku berkasihan belas terhadapnya. Namun, jauh dalam sudut hatiku aku sayang padanya. Tetapi kata-kata itu tak pernah aku tuturkan.
Sedikit demi sedikit, kudrat yang dikurnia Illahi kepadanya semakin hilang. Dia sudah semakin lemah dan selalu sakit. Tambah menyulitkan apabila dia diserang angin ahmar dan tidak mampu menggerakkan separuh badannya. Aku dan isteri sudah tidak sanggup lagi bergilir-gilir mengambil cuti semata-mata untuk menjaganya. Lantas, satu jalan keluar telah kutentukan. Dia akan kuhantar ke rumah orang-orang tua. Mungkin di sana dia akan lebih terjaga. Aku juga berjanji untuk melawatnya setiap kali punya kelapangan. Meskipun hatiku berat untuk melakukannya, namun menurut logik akalku, inilah keputusan terbaik yang mampu aku ambil.
Bulan pertama dan kedua, hampir setiap hujung minggu aku melawatnya. Masuk bulan ketiga, inflasi mulai menyerang ekonomi negara dan aku dipaksa berusaha keras untuk memastikan kelestarian keluarga dan segala aset yang sekian lama aku kumpul. Sejak itu, aku jarang mengunjunginya. Meski telefonku seringkali berdering dek panggilan pegawai rumah orang-orang tua tersebut yang ingin menyampaikan pesan rindunya, aku tetap sukar mencari waktu untuk melawatnya di situ.
Sehinggalah satu hari apabila aku menerima bonus dari majikanku serta diberikan cuti seminggu olehnya kerana melihatkan prestasi kerjaku yang cemerlang. Aku lantas pergi ke rumah orang-orang tua terbabit dan membawanya pulang untuk meluangkan sedikit waktu bersamanya. Riak gembiranya jelas terpancar sewaktu bersamaku. Walaupun senyuman manis sudah tenggelam dalam kedutan yang memenuhi wajahnya, namun ekspresi matanya mampu menceritakan segalanya. Aku cuma berlagak biasa dan agak kurang berperasaan tatkala itu. Orang dewasa harus sentiasa tenang dan tidak teruja dalam apa jua keadaan sekalipun. Itu pandangan peribadiku. Walaupun dalam hatiku sangat sayang kepadanya, tetapi rasa itu tak boleh diluahkan kerana aku telah dewasa! Aku hanyut dalam keegoan diri sendiri. Malam itu dia meminta aku supaya tidur di sisinya. Entah mengapa aku tidak mampu menolak dan aku tertidur dengan lena sekali di sampingnya. Ibarat bayi yang nyenyak tidur dalam pelukan ibunya.
Keesokan paginya, aku bangun untuk menunaikan solat subuh. Dia kulihat masih terlena dengan wajah penuh tenang dan damai. Selesai solat, aku ingin menggerakkannya dari tidur dan bersarapan bersama. Namun panggilan namanya dan goncangan yang aku lakukan terhadap ibu jari kakinya tidak juga membangunkannya. Aku cuba menggerak-gerakkan bahunya dengan lebih kuat. Namun masih tiada respons. Hatiku cemas. Air mata mula bergenang. Meski aku sedar akan hakikat yang sedang berlaku, aku terus-terusan meyakinkan hati aku bahawa ini bukannya satu realiti. Air mata kian deras mengalir. Hancur hatiku ibarat pantai dilanggar badai. Namun, aku sedar putaran waktu takkan mampu berbalik. Aku hanya mampu menangis sekuat tenaga. Tatkala tangan yang pernah menepuk-nepuk punggungku untuk mendodoikanku semasa waktu kecil kini layu terkulai. Lemah tak lagi berdaya.
Ibu! Aku sayang padamu!
Menatap wajahmu tenang dalam lena
Kasih zahirkan laku
Sedangkan bibirku jauh dari lafaznya
Dan raut tuamu membekas jiwaku
Meredakan rindu mendamaikan kalbu
Tak mungkin kutemu iras sentuhanmu
Biarpun kuredah seluruh dunia
Mencari gantimu
Betapa sukarnya menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanya sekadar
tingkah
Cuma ungkapan kebisuan yang
melindungkan kalimah rahsia
Masih kubiarkan waktu
Melarikan lafaz kasihku padamu
Mengapakah sukar menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanyalah sekadar
tingkah
Cumalah ungkapan bisu kalimah rahsia
Apakah yang hilang andai dilisankan
Bait penghargaan penuh kejujuran
Tak mungkin terlihat cinta yang merona
Jika hanya renungan mata yang bersuara
Bukan tutur kata
Tiada lagi ertinya pengucapan
Andai akhir nafas di hujung helaan
Sebelum mata rapat terpejam
Usah biar kehilangan
Menggantikan lafaz yang tersimpan

3 comments:
cubaan 1 2 3..
i like it very much.
karang lah lg dowh cerpen2 camnie...
aku suke
Post a Comment