Bila Tinta Menari

sebuah blog yang ditulis untuk mengekspresi idea yang terbuku dalam minda penulis.. memproses cetusan-cetusan yang lahir dari pelbagai sumber untuk menghasilkan satu wacana penulisan sebagai metode penulis untuk berkongsi pemikiran dan perspektif dari sudut yang berbeza.. (^,^)v

Memang suatu perkara yang lumrah apabila manusia bercakap dan hal ini merupakan satu norma kehidupan makhluk bergelar insan. Sekiranya seseorang itu tidak menuturkan sebarang kata-kata, maka itu bukan lagi satu lumrah tetapi menjadi keluarbiasaan. Namun dalam keterbiasaan manusia berkata-kata, kita seringkali alpa dan terlupa akan adab apabila menutur bicara. Terutamanya dalam situasi yang melihatkan kita sebagai pihak yang tidak mendapat keadilan dan juga apabila kita sedang menghadapi masalah atau musibah. Kita selalu ingin berkasar dan melenting apabila hal sebegini berlaku.

Sejak kecil lagi kita banyak diajar dan dilatih agar menjadi insan yang bertatasusila dan berbudi bahasa. Penyerapan konsep hormat menghormati dan toleransi dalam kehidupan seharian kita dari awal usia juga memperlihatkan betapa masyarakat kita dididik untuk saling bertolak ansur dan tidak bersikap seperti penyangak. Justeru, mengapakah pada masa ini kita seringkali melihat kurangnya adab sedemikian dalam pergaulan dan interaksi?

Saya tidak ingin berceloteh mengenai adab dalam pergaulan kerana fokus utama perbincangan ini adalah mengenai percakapan terutamanya apabila penuturan kita itu adalah untuk didengar oleh orang ramai. Ramai ahli debat dan ahli syarahan yang lebih arif dalam hal ini berbanding saya namun saya rasa terpanggil untuk berkongsi buah fikiran setelah melihat suatu kejadian yang telah membuatkan banyak pihak berasa kurang senang dan panas hati. Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak dalam insiden tersebut kerana banyak faktor pemangkin yang mengakibatkan peristiwa kelat tersebut terjadi.

Peristiwa tersebut berlaku sewaktu majlis motivasi dan perjumpaan wakil MUAFAKAT (persatuan ibu bapa pelajar Malaysia Universiti Mansoura yang datang dengan agensi GMN), Dr. Fadhil Che Din dengan pelajar. Turut hadir ialah beberapa pegawai GMN. Setelah beberapa ketika Dr. Fadhil dan bapa salah seorang pelajar yang juga seorang doktor pakar dari Malaysia mengemukakan pelbagai nasihat berguna kepada pelajar, kami diminta oleh Dr. Fadhil untuk menulis di atas sehelai kertas tentang segala masalah yang kami hadapi di sini untuk dibawa kepada pihak universiti dalam perjumpaan antara beliau dan pihak universiti keesokan harinya.

Tidak semena-mena, seorang pelajar bangkit lalu meminta izin untuk meluahkan masalah yang kami hadapi di sini secara lisan di hadapan. Untuk tidak menghampakan pelajar tersebut, Dr. Fadhil membenarkannya untuk meluahkan ketidakpuasan hatinya di hadapan majlis meski masa yang diperuntukkan untuk perjumpaan tersebut sudah suntuk. Pelajar tersebut terus ke hadapan lalu memperkenalkan diri lantas mengemukakan permasalahan yang dia dan pelajar lain hadapi. Mungkin disebabkan tidak tahan dengan rungutan rakan-rakan yang merasa tertindas dan tertipu dari segenap aspek sejak sekian lama, pelajar tersebut terkadang meninggikan suara dan bercakap dengan nada yang tegas. Kata-kata balas Dr. Fadhil juga tidak kurang pedasnya apabila menjawab dan sebelum mengakhirkan majlis, beliau sempat menyindir, “ Ada siapa-siapa lagi tak yang nak meluahkan masalah kat depan?.. Yang rase kalau dia tak cakap kat depan ni sekarang ni, malam nanti dia meracau tak boleh tidur, atau nanti malam karang dia terjun bangunan dari tingkat 8.. Ada tak?..”. Tiada sesiapa menjawab.

Sejurus kemudian, majlis bersurai dan kami semua pulang. Begitulah insiden yang telah menggerakkan jari-jemari saya untuk menaip post ini. Banyak perkara yang ingin saya ketengahkan dari persepsi dan perspektif saya sekitar kejadian ini. Pertama sekali adalah mengenai luahan yang dilakukan pelajar terbabit. Keberanian pelajar tersebut tampil ke hadapan untuk berbicara sangat wajar dipuji. Malah, perkara yang diutarakannya juga sangat berkaitan dengan kami dan kami menyokong segala apa yang dikatakan oleh beliau. Memang kami merasakan sangat tertipu oleh pihak agensi dan universiti. Pelbagai janji yang ditabur tak pernah ditunaikan. Kata-kata ‘wallahi’ pegawai agensi berbangsa arab yang satu itu juga sudah ibarat kata-kata kosong yang tidak bermakna.

Namun, harus diingat bahawa perjumpaan tersebut merupakan lebih kepada program motivasi pelajar dan bukannya mesyuarat antara pelajar dan agensi. Justeru, pertemuan tersebut bukanlah satu platform untuk pelajar menghentam agensi dan universiti kerana Dr. Fadhil datang atas kapasiti sebagai seorang pakar psikologi yang ingin memberikan suntikan motivasi kepada para pelajar. Maka, tidak wajar untuk beliau tiba-tiba dipaksa menerima hentaman demi hentaman dan menjawab persoalan yang diutarakan kerana beliau bukanlah pekerja, pegawai, atau CEO agensi mahupun universiti. Beliau merupakan wakil kepada ibu bapa kita sendiri. Lantas mengapakah beliau kita jadikan ibarat pesalah dalam situasi ini?

Jika diberikan kesempatan dan kekuatan, saya pun ingin meluahkan masalah saya. Tetapi ini bukanlah tempatnya! Oleh itu, saya memilih untuk berdiam diri dan memilih untuk menerima segala input yang Dr. Fadhil sampaikan. Bagi pihak Dr. Fadhil pula, sudah semestinya beliau tertekan dengan situasi tersebut. Sudahlah baru sampai dari Malaysia dan belum sempat untuk beristirahat, tiba-tiba beliau dihentam sedemikian rupa pula. Masih terngiang-ngiang di telinga saya kata-kata Dr. Fadhil setelah tertekan dengan asakan bertubi-tubi pelajar terbabit, “I’m not working for this bloody GMN! Saya datang sebab saya nak bantu anak saya. Dan dah alang-alang saya bantu anak saya, apa salahnya saya bantu anak-anak orang lain juga.”.

Dalam kes ini, yang sepatutnya dipersalahkan ialah pihak agensi dan universiti namun akibat rasa marah yang terpendam sejak sekian lama, pertemuan untuk membimbing pelajar telah menjadi sebuah pertemuan yang membibitkan pertelingkahan. Meskipun hanya sedikit, namun imej pelajar tahun satu secara kesuluruhannya telah tercemar pada pandangan Dr. Fadhil dengan insiden terbabit. Pihak agensi seharusnya mengadakan pertemuan dengan pelajar sendiri untuk menyelesaikan segala kesulitan yang timbul dan bukannya sekadar lepas tangan setelah berjaya mencampakkan kami ke sini.

Namun menurut pandangan peribadi saya, meski dalam pertemuan yang sedemikian sekalipun, kita seharusnya bijak dalam menyusun kata-kata dan tidak bercakap secara semberono dan main hentam keromo sahaja. Kita seringkali diajar tentang adab dan budi bahasa tetapi apabila situasi berubah keruh dan fikiran negatif menguasai diri, ajaran-ajaran murni yang ibarat pakaian dan telah sebati dengan diri kita ini mulai tertanggal satu persatu sehingga kita menjadi bogel lantas diselubung nafsu amarah lalu tenggelam dalam kekalutan jiwa sehingga lemas dalam bibit-bibit pergaduhan.


Sebagai konklusi, kita sebagai pelajar hendaklah sentiasa tahu bila untuk bersuara dan di mana untuk bersuara. Janganlah kita hanya tahu menghentam orang lain tanpa tahu saluran dan platform yang betul untuk melakukannya. Meskipun apa yang kita perjuangkan itu benar, namun kesilapan dalam memilih saluran untuk menyampaikan pandangan kita ini boleh mencacatkan dan menggagalkan usaha suci kita tersebut. Jadikanlah ini sebagai suatu pengalaman dalam hidup dan salah satu peringkat dalam proses mematangkan diri. Salam…

0 comments:

Post a Comment

Tentang Aku

My photo
pelajar jurusan perubatan Universiti Mansoura, Mesir. seorang manusia yang suka mengutarakan pendapat dan berkongsi cerita. agak aktif dalam penulisan kreatif suatu ketika dahulu. ingin menjadi seorang yang berjaya pada masa depan. berazam menjadi seorang yang mampu ke depan dan berucap di hadapan khalayak ramai. bercita-cita tinggi dan berharap agar cita-cita tersebut tercapai.. hee..

Labels

Waktu Solat Mansoura (^-^)

Followers

Penafian (Disclaimer)

Segala kandungan dalam blog ini adalah pandangan peribadi penulis. Tiada isu berbangkit kerana blog ini merupakan hak peribadi penulis. Justeru penulis bebas menyatakan pendapat di bawah Artikel 22(a) Deklarasi Kaherah tentang Hak Asasi Manusia dalam Islam, dan Hak Kebebasan Bersuara dalam Perkara 19 Pengisytiharaan Hak Asasi Manusia Sejagat. Sebarang ketidakpuasan hati sila pendamkan dalam hati kerana kesah plak aku kalo ko tak puas hati! haha!!