Bila Tinta Menari

sebuah blog yang ditulis untuk mengekspresi idea yang terbuku dalam minda penulis.. memproses cetusan-cetusan yang lahir dari pelbagai sumber untuk menghasilkan satu wacana penulisan sebagai metode penulis untuk berkongsi pemikiran dan perspektif dari sudut yang berbeza.. (^,^)v

Salam.

Huhu. Lama gila tak menulis. Sejak post terakhir hari tu, dah dekat berapa bulan dah blog ni tak di’update’. Blogger dashboard ni pun aku tak buka, inikan pulak nak update blog. huhu.. Tapi disebabkan aku dah rajin nak menulis, jadi aku pun tekan la butang-butang pada papan kekunci laptop kesayangan aku ni untuk menghasilkan penulisan yang bajet good ni.

Seiringan dengan pemilihan/pengundian pengerusi dan ahli jawatankuasa tertinggi Perubatan Cawangan Mansoura (PCM) yang bakal diadakan Jumaat ini (26 November 2010) InsyaAllah, molek rasanya untuk aku menulis serba sedikit mengenai apa yang dapat aku lihat dan rasa mengenai pemilihan ini. Selaku mata yang memerhati dari pihak berkecuali(tidak memihak), banyak yang dapat aku saksikan sepanjang bermula hari pencalonan sehinggalah tempoh yang diberikan untuk berkempen. Pelbagai lagak dan ragam yang diketengahkan oleh calon serta penyokong yang dapat aku simpulkan sebagai warna-warni dalam proses mencorak lembaran memilih kepimpinan. Kematangan kita selaku mahasiswa/wi dalam menerima, menapis dan menilai sebarang hujah serta manifesto calon turut diperlihat dalam tempoh ini.

Sebagai pembuka bicara, lazim bagi setiap pemilihan tidak kiralah sebesar atau sekecil mana sekalipun untuk mempunyai calon. Tidak kiralah seorang atau dua orang atau lima orang. Dah nama pun pemilihan, tentunya ada yang perlu kita pilih. Justeru, kita harus tahu dari aspek dan sudut manakah seseorang itu berbaloi untuk kita pilih? Sengaja aku gunakan frasa berbaloi kerana jika aku gunakan harus atau perlu, bunyinya seperti aku berpihak dan ingin menanamkan satu ‘mind set’ dalam minda pembaca. Harus difahami bahawa tulisan ini bersifat neutral dan mendokong sepenuhnya hak demokrasi dan kebebasan memilih yang dimiliki setiap ahli persatuan (yang telah menjelaskan yuran).

Berbalik kepada isu yang ingin aku bangkitkan. Dari segi apakah seseorang itu berbaloi untuk kita undi? Adakah jika calon itu mempunyai rupa paras yang menarik, kita tanpa berfikir panjang terus memberikan undi kita kepada beliau? Atau hanya kerana kita kenal seorang calon itu dan kurang mengenali calon yang lain, terus kita undi mereka yang kita kenal sahaja? Memang tepat bahawa adalah menjadi hak bagi tiap-tiap individu untuk memilih siapapun yang ia inginkan. Tetapi ingin aku tekankan di sini keperluan untuk kita renungkan kesan jangka panjang daripada sebarang keputusan yang kita ambil.

Perlu kita pertimbangkan bahawa mereka yang kita pilih ini merupakan suara bagi kita dalam menyampaikan segala hasrat dan hajat kita kepada pihak atasan. Mereka selaku badan kepimpinan juga akan menjadi penentu hala tuju di samping menjadi acuan bagi ahli persatuan. Lantaran itu, sangat penting bagi kita untuk memilih yang terbaik untuk kepentingan semua pihak. Hal ini kerana kesilapan dalam memilih kepimpinan akan turut menimbulkan masalah bagi semua pihak. Walaupun hanya untuk satu penggal, pilihan kita sebenarnya menentukan sama ada semua pihak senang, atau semua pihak akan bermasalah dalam penggal tersebut.

Bergerak kepada perkara pertama. Kualiti apakah yang perlu ada pada calon bagi menjadikan beliau berbaloi untuk kita undi? Untuk menjawab persoalan ini, kita harus tahu ciri-ciri pemimpin yang baik. Tidak perlulah dicatatkan di sini ciri-ciri tersebut kerana aku yakin pengundi-pengundi di sini lebih arif tentang hal tersebut. Bagi yang merasa kurang arif, bolehlah melayari laman-laman web ilmiah untuk mendapatkan informasi berkenaan. Fokus utamanya di sini ialah kita perlu memilih insan yang terbaik untuk menjadi pemimpin. ‘Tidak boleh tidak’ kerana jika insan tersebut tidak mampu hatta untuk memimpin diri sendiri, bagaimana kita hendak mengharapkan beliau untuk memimpin persatuan?

Keduanya, kita perlu mengambil kira apa yang ingin dilakukan oleh calon tersebut sekiranya beliau menang. Dalam erti kata lain, manifesto calon merupakan antara perkara penting yang harus kita nilai dalam proses memilih. Manifesto boleh kita terjemahkan sebagai janji-janji (manis?) yang diberikan oleh calon sebelum pemilihan. Apa yang perlu kita nilai di sini adalah sama ada manifesto tersebut menguntungkan kita dan semua pihak atau tidak? Serta sama ada manifesto tersebut akan mampu dilaksanakan sekiranya calon terbabit menang atau tidak? Hal ini kerana sesetengah calon hanya tahu menjanjikan bulan dan bintang kepada pengundi namun tidak reti untuk menunaikan janji setelah dipilih (ok2.. sedikit berlebihan.. sori2.. hehe :P ).

Akhir sekali, setelah puas kita memandang pada calon, kita perlu kembali introspektif dan memandang ke dalam diri kita sendiri. Kita harus bertanya kepada diri sendiri, inikah orang yang ingin aku ikut? Inikah orang yang akan aku berikan kerjasama sepenuhnya dan patuh kepada setiap keputusannya? Serta adakah ini orang yang terbaik antara kesemua mereka yang mampu aku pilih untuk menjadi pemimpin? Jawapannya biarlah rahsia dan terletak pada diri masing-masing.

Justeru, buatlah pilihan terbaik dalam proses pengundian ini. Kita sudah tentunya menginginkan perubahan dalam persatuan. Bukannya perubahan daripada 'pure islamic' kepada 'total liberalism' atau sebagainya yang aku maksudkan. Apa yang aku maksudkan adalah perubahan positif ke arah yang lebih baik dan terbuka. Bukankah daripada ‘good’ kepada ‘better’ adalah satu perubahan?

Bagi calon, selamat bertanding aku ucapkan. Kalah menang adat pertandingan. Buat yang terbaik dan jalankan amanah sebaiknya jika terpilih. Untuk pengundi pula, terampilkan kematangan kita dalam memilih apa yang kita mahukan serta nilaikan setiap input yang kita terima {seperti manifesto dan hujah-hujah yang mereka (calon-calon dan pendokong calon) berikan} dengan skala ‘betul-salah’ dan ‘possible-impossible’ yang tepat. Akhir kata, keputusan terletak di tangan kita.
Selamat mengundi! :D

2 comments:

incik nnt turun mengundi ke?

tak..
tak cukup umur..
haha!
takde ah.. tak gi sbab tak bdaftar.. :D

Post a Comment

Tentang Aku

My photo
pelajar jurusan perubatan Universiti Mansoura, Mesir. seorang manusia yang suka mengutarakan pendapat dan berkongsi cerita. agak aktif dalam penulisan kreatif suatu ketika dahulu. ingin menjadi seorang yang berjaya pada masa depan. berazam menjadi seorang yang mampu ke depan dan berucap di hadapan khalayak ramai. bercita-cita tinggi dan berharap agar cita-cita tersebut tercapai.. hee..

Labels

Waktu Solat Mansoura (^-^)

Followers

Penafian (Disclaimer)

Segala kandungan dalam blog ini adalah pandangan peribadi penulis. Tiada isu berbangkit kerana blog ini merupakan hak peribadi penulis. Justeru penulis bebas menyatakan pendapat di bawah Artikel 22(a) Deklarasi Kaherah tentang Hak Asasi Manusia dalam Islam, dan Hak Kebebasan Bersuara dalam Perkara 19 Pengisytiharaan Hak Asasi Manusia Sejagat. Sebarang ketidakpuasan hati sila pendamkan dalam hati kerana kesah plak aku kalo ko tak puas hati! haha!!